Isu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini menjadi semakin relevan dalam pembangunan negara, terutama dalam menyediakan tenaga kerja mahir yang sejajar dengan keperluan Revolusi Industri 4.0.
Pelbagai usaha telah digerakkan oleh kerajaan untuk memartabatkan laluan pendidikan ini, namun sambutan masyarakat masih belum setanding dengan aliran akademik arus perdana. Ini mencerminkan keperluan perubahan persepsi yang lebih menyeluruh terhadap nilai dan potensi sebenar TVET dalam ekosistem pembangunan negara.
TVET bukanlah laluan ‘kelas kedua’ seperti yang sering disalah ertikan. Sebaliknya, ia merupakan laluan strategik untuk membentuk modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan, automasi, teknologi maklumat, dan pelbagai sektor teknikal lain yang berkait rapat dengan agenda pembangunan negara berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Di Malaysia, jurang antara permintaan industri dan bekalan tenaga kerja mahir masih ketara. Banyak syarikat pembuatan, teknologi dan kejuruteraan mengadu kesukaran mencari pekerja yang benar-benar mahir, walaupun kadar pengangguran dalam kalangan graduan masih membimbangkan.
Justeru, pendekatan integrasi TVET dengan STEM amat diperlukan agar pelajar bukan sahaja mahir secara praktikal, tetapi juga celik teknologi dan saintifik.
Gabungan pendidikan TVET dan pengukuhan kurikulum STEM berupaya melahirkan pekerja teknikal yang bukan sahaja mampu mengendalikan peralatan canggih, tetapi juga memahami prinsip sains di sebalik teknologi tersebut. Gabungan ini menjadikan mereka lebih kompeten dan bernilai tinggi dalam pasaran kerja global.
Namun, usaha memartabatkan TVET memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan, industri, institusi latihan, serta masyarakat itu sendiri. Institusi TVET perlu lebih agresif dan proaktif menjalinkan hubungan erat dengan industri agar latihan yang diberikan sentiasa relevan dan terkini.
Promosi besar-besaran yang menonjolkan kejayaan graduan TVET dalam industri juga penting untuk mengubah tanggapan awam.
Masa depan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi bergantung pada keupayaan kita menyediakan tenaga kerja mahir yang mampu bersaing di semua peringkat termasuk antarabangsa. – UTUSAN
Ts. Mohd. Faizal Aziz
Pegawai Sains Kanan, Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN), Universiti Kebangsaan Malaysia.