Perbelanjaan tinggi pengguna dorong pertumbuhan ekonomi negara 4.4 peratus suku pertama 2025

Perbelanjaan tinggi pengguna dorong pertumbuhan ekonomi negara 4.4 peratus suku pertama 2025

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertumbuhan menggalakkan dalam sektor ekonomi utama negara telah memangkin pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama tahun ini (S1 2025).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kadar ini adalah selari dengan Anggaran Awal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan mengatasi pertumbuhan sebanyak 4.2 peratus pada suku tahun yang sama pada tahun sebelumnya (S1 2024).

Katanya, KDNK S1 2025 dipacu oleh sektor perkhidmatan (5 peratus), pembuatan (4.1 peratus) dan pembinaan (14.2 peratus).

“Pertumbuhan ekonomi ini turut disokong perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi semasa musim perayaan Tahun Baru Cina dan pra-Hari Raya Aidilfitri, pelaksanaan gaji minimum yang berkuat kuasa Februari lalu serta kenaikan gaji kakitangan awam baru-baru ini.

“Penggunaan swasta, yang menjadi tonggak utama ekonomi Malaysia, mencatat pertumbuhan sebanyak 5 peratus pada S1 2025 didorong prestasi pasaran buruh yang menggalakkan dengan penurunan kadar pengangguran kepada 3.1 peratus dan kestabilan kadar inflasi pada 1.5 peratus — kedua-duanya terendah dalam sejarah Kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, perbandingan pada pada S1 2024 menunjukkan prestasi penggunaan swasta meningkat sebanyak 4.7 peratus dengan kadar pengangguran berada pada paras 3.3 peratus dan kadar inflasi pada 1.7 peratus.

Katanya, pelaburan telah mengekalkan momentum pertumbuhannya pada S1 2025, dengan kenaikan sebanyak 9.7 peratus yang mencerminkan sambutan baik pelabur dunia terhadap dasar pro pembangunan Kerajaan Madani.

Ini termasuk penekanan aspek kelestarian seperti digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan lain-lain kerangka dasar utama negara,.

“Usaha turut giat dilaksanakan untuk terus menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang berkualiti bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, di samping mengekalkan ekosistem pelaburan yang dinamik selepas mencatatkan pelaburan domestik tertinggi dalam tempoh sedekad pada tahun 2024.

“Kedudukan berkecuali dan agenda reformasi yang dipercepatkan menjadi benteng menghadapi tantangan global,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan akur terdapat risiko penurunan kepada unjuran rasmi pertumbuhan pada tahun 2025 iaitu 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.

Katanya, hal ini disebabkan oleh permintaan luaran yang kian menguncup, ketegangan geopolitik yang meningkat dan amalan perlindungan perdagangan yang kian meluas, khususnya pengumuman tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

“Kerajaan akan membuat semakan kepada unjuran KDNK 2025 apabila situasi tarif timbal balik ini menjadi lebih stabil dan terdapat lebih kejelasan.

“Pada masa sama, kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah mitigasi untuk mengukuhkan asas dalaman negara, dengan salah satunya mempertingkatkan pelaburan langsung domestik (DDI),” katanya.

Beliau berkata, Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) telah memberi komitmen untuk bersama-sama melabur sebanyak RM25 bilion untuk DDI pada tahun ini, melalui program GEAR-uP.

Katanya, kerajaan juga akan meneruskan rundingan perdagangan dua hala dengan AS serta memanfaatkan saluran pelbagai hala seperti Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi memastikan persekitaran perdagangan yang adil dan kondusif untuk semua pihak.

“Kerajaan akan terus memperhebatkan usaha mempelbagaikan pasaran eksport dan memeterai perjanjian perdagangan baharu untuk meredakan impak daripada ketidaktentuan ekonomi global.

“Usaha ini telah membuahkan hasil awal pada 2024 dengan peningkatan pelaburan dan nilai eksport ke pasaran bukan tradisional — seperti Mesir, Pakistan, dan Cambodia, selain daripada pasaran ASEAN yang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN