Perak tarik pelaburan Eropah RM450 juta - Utusan Malaysia

Perak tarik pelaburan Eropah RM450 juta

SAARANI Mohamad (tengah) menyaksikan kerjasama strategik projek hab agromakanan NCER di Ipoh hari ini. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak berjaya menarik pelaburan RM450 juta daripada syarikat-syarikat Eropah hasil lawatan kerja kerajaan negeri ke Perancis, Belgium dan United Kindom (UK) pada minggu lalu.

Lawatan itu menarik pelaburan serta potensi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk unsur nadir bumi bukan radioaktif (NRREE), bahan binaan, selain perkapalan dan logistik di Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, lawatan juga membuka jalinan kerjasama dengan pakar nutrisi akuakultur Belgium, Profesor Dr. Patrick Sorgeloos untuk berkolaborasi dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) bagi menghasilkan makanan udang.

“Pelaburan yang sudah pasti adalah RM450 juta. Itu tidak termasuk yang SADC, tidak termasuk tiga syarikat di LuMIC.

“Alhamdulillah kita jangka kita pergi mencari pelaburan itu berbaloi. Sebab pelabur-pelabur akan datang untuk mengisi slot pelaburan di negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) negeri Perak di sini hari ini.

Katanya, daripada pelaburan RM450 juta itu, RM200 juta merupakan komitmen syarikat Perancis, Saint-Gobain dalam pembuatan bahan binaan papan simen gentian.

Tambahnya, RM250 juta lagi adalah pelaburan oleh syarikat Belgium, Lhoist Group yang meningkatkan pengeluaran produk kapur tohor dan kapur pertanian bagi memenuhi permintaan pasaran global.

Beliau juga berkata hasil lawatan ke Port of Antwerp-Bruges International (PoABI) di Belgium, tiga syarikat Eropah dijangka hadir ke Perak pada Jun ini untuk melihat potensi pelaburan di LuMIC.

Saarani juga berkata, lawatan ke Leicester, UK pula adalah bagi menilai potensi untuk membangunkan litar pandu uji National Automotive Testing Centre di Sungkai. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN