IPOH: Perak memperkenalkan tiga buah kitab untuk bacaan asas di masjid dan surau negeri ini bagi membantu mengatasi kekurangan penceramah bertauliah serta kurangnya aktiviti keilmuan.
Tiga kitab tersebut ialah Qalbun Salim dan Sifat 20: Suatu Pengenalan Asas, iaitu karya Ustaz Muhadir Haji Joll, manakala yang ketiga ialah Mutiara Minhajul Abidin oleh Ustaz Raja Ahmad Mukhlis Raja Jamaluddin.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, disedari bahawa tidak semua masjid dan surau dapat menyediakan kuliah atau ceramah agama secara tetap khususnya di kawasan pendalaman.
“Kekangan seperti jumlah jemaah yang kecil, kekurangan sumber dan capaian penceramah menyebabkan penyampaian ilmu tidak berlaku secara berterusan. Maka pendekatan yang mudah, praktikal dan efektif perlu dilaksanakan.
“Melalui pelaksanaan program ini, para Imam akan membaca dan menghuraikan tiga buah kitab terpilih ini,” katanya dalam majlis pelancaran kitab itu di sini hari ini.
Beliau berkata, Perak kini mempunyai sebanyak 634 buah masjid, 52 Surau Diri Jumaat dan 54 Surau Ta’addud Jumaat serta seramai 1,695 orang Imam bertauliah telah dilantik di seluruh negeri.
Saarani berkata, buku-buku tersebut boleh digunakan oleh para Iman untuk menyampaikan ilmu di masjid dan surau agar memastikan program keilmuan dapat dilaksanakan.
“Kita perkasakan Iman sendiri yang ada asas agama. Tidak semestinya perlu berpidato atau bersyarah ketika mengajar. Buku ini sangat asas dengan penyampaian bahasa yang mudah difahami.
“Kalau katakan para Imam tidak boleh bersyarah atau berpidato, itu tidak menjadi masalah. Memadai baca kandungan buku-buku ini untuk menyampaikan ilmu selepas Maghrib untuk menanti Isyak,” katanya.
Saarani juga berkata, kerajaan negeri akan terus memantau dan mengambil tindakan terhadap isu berkaitan penyampaian ceramah dan kuliah agama tanpa tauliah yang sah. – UTUSAN