Peperiksaan di Singapura jadi penanda aras Sekolah Rintis Bangsa Johor - Onn Hafiz

Peperiksaan di Singapura jadi penanda aras Sekolah Rintis Bangsa Johor – Onn Hafiz

Onn Hafiz Ghazi merasmikan Majlis Sesi Libat Urus Sekolah Rintis Bangsa Johor di Dewan Sekolah Menengah Kebangddan Tasik Utara, Johor Bahru, hari ini. UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) mahu menjadikan peperiksaan Primary School Leaving Examination (PSLE) dan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) di Singapura sebagai penanda aras.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kedua-dua peperiksaan itu adalah peperiksaan yang diambil murid dan pelajar di Singapura.

Katanya, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan kerajaan negeri menjadikan republik tersebut sebagai tanda aras untuk meningkatkan mutu pendidikan negeri.

“Mengapa Singapura dipilih, ini kerana pendidikan sekolah di republik itu pada tahap nombor satu di dunia, jadi apa salahnya kita belajar daripada mereka untuk ‘jump start’ anjakan paradigma pendidikan negeri.

“Selain PSLE dan IGCSE, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga merupakan indikator kita dalam menentukan kejayaan program SRBJ,” katanya pada Sesi Libat Urus Bersama Warga Pendidik dan Ibu Bapa SRBJ di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara di sini, hari ini.

Projek SRBJ membabitkan dua sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Puteri 2 dan SMK Tasek Utara serta dua sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Puteri 4 dan SK Tasek Utara.

Onn Hafiz turut memberitahu keempat-empat buah SRBJ merupakan sekolah harian pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan sebagai Apple Distinguished Schools.

“Terdapat 1,000 buah sekolah yang menerima pengiktirafan ini di seluruh dunia, manakala sembilan buah sekolah yang menerimanya di Malaysia merupakan sekolah berasrama penuh (SBP).

“Empat SRBJ ini merupakan sekolah harian pertama di Johor dan Malaysia yang menerima pengiktirafan ini, di mana seramai 2,264 murid dan pelajar serta 213 guru menerima iPad masing-masing,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu sebanyak RM55 juta peruntukan telah dikumpul untuk memperkasa tahap pendidikan negeri dengan dana diperoleh menerusi kemasukan pelaburan ke negeri ini.

“Tumpuan akan diberikan kepada empat buah sekolah ini menerusi program SRBJ, sekiranya ia berhasil, kerajaan negeri akan memperluaskan SRBJ ke sekolah-sekolah lain seluruh negeri,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN