Penyeludupan minyak masak bersubsidi, rokok tumpas

Penyeludupan minyak masak bersubsidi, rokok tumpas

SEBAHAGIAN rokok seludup yang dirampas di Kampung Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan. - IHSAN PGA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan penyeludupan minyak masak bersubsidi dalam tempoh 24 jam menerusi dua  serbuan di sini,  kelmarin dalam Op Bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan. 

Sementara dalam kes berasingan, Batalion 8 PGA berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan 91,840 batang rokok selepas membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Bunut Susu, di sini, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, dalam kes penyeludupan minyak masak bersubsidi, seorang lelaki melayu berusia 40 tahun ditahan menerusi serbuan pertama di  sebuah rumah di Jalan Engku Muda Syed, kira-kira 6.30 petang pada 22 Mei lalu.

“Hasil pemeriksaan menemui 986 paket dan 20 botol minyak masak di dalam rumah tersebut. Anggaran rampasan keseluruhan bernilai RM3,025,” katanya hari ini.

Menurutnya, rampasan kedua melibatkan penyeludupan minyak masak sebanyak 1,258 paket di Kampung Banggol Ara kira-kira 7.30 malam pada 23 Mei lalu.

“Ketika serbuan suspek melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.Hasil pemeriksaan lanjut menemui dua buah kenderaan dan di dalam kenderaan itu terdapat minyak masak seludup. Nilai kedua-dua rampasan berjumlah RM 36,025 dan kes disiasat di bawah Seksyen  21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sementara kes melibatkan rokok seludup pula, beliau berkata,  PGA menahan seorang lelaki berusia 63 tahun yang dipercayai sebagai pengedar rokok tersebut untuk siasatan lanjut dalam serbuan pukul 6.30 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 82,600 batang rokok putih dan 9,240 batang rokok kretek ditemukan di dalam van di pekarangan rumah tersebut. 

 “Anggaran nilai rampasan keseluruhan mencecah RM 252,000 termasuk van dan kes disiasat dibawah Sek 135(1)(e) Akta Kastam 1967. Rokok-rokok ini dipercayai untuk dijual ke pasaran tempatan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN