Penyelesaian 'menang-menang' isu Petronas-Sarawak

Penyelesaian ‘menang-menang’ isu Petronas-Sarawak

Abang Johari Tun Openg pada program Lan Berambeh Anak Sarawak 2025 Edisi UK. - FACEBOOK UKAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak mencapai kata sepakat untuk mencari jalan penyelesaian kemelut Petronas – Petros dalam masa terdekat.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau telah menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta kemelut itu diselesaikan.

Katanya, Perdana Menteri meminta kedua-dua pihak mencari jalan penyelesaian yang harmoni dan adil bagi isu berkaitan Petronas dan Sarawak dalam sektor minyak dan gas (O&G).

“Dalam hal minyak dan gas ini, kita telah lama ‘bermain bola’ secara berhemah dengan Petronas. Saya pasti ramai dalam kalangan anda sudah mengetahui perkembangan terkini berkaitan isu ini.

“Bagaimanapun, kami sedang berusaha ke arah penyelesaiannya, malah Perdana Menteri sendiri telah menghubungi saya pagi ini (Sabtu, waktu London) dan kami telah mencapai persefahaman bersama untuk bergerak ke arah satu penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi townhall Agenda Sarawak yang diadakan sempena program ‘Lan Berambeh Anak Sarawak 2025’ edisi United Kingdom (UK) yang dilaporkan di Facebook Unit Komunikasi Korporat Awam Sarawak (UKAS).

Abang Johari berkata, perbincangan yang akan dilakukan dalam isu sektor O&G itu akan menggunakan pendekatan ‘menang-menang’ antara Sarawak dan Petronas.

“Penyelesaian ini akan berasaskan kepada niat baik bersama dan keyakinan bahawa kekayaan minyak dan gas negara perlu dikongsi secara adil. Sarawak telah menunaikan tanggungjawabnya,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia me­laporkan Kerajaan Negeri Sarawak menghantar surat tun­­tutan kepada anak syarikat Pet­ronas iaitu Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) atas dakwaan me­lakukan pelanggaran atau ke­tidakpa­tuhan terhadap Seksyen 7 (e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.

Pelanggaran itu membabitkan operasi sebuah loji milik PCSB di Miri Crude Oil Terminal (MCOT) di Lot 915-916, Lorong 1A-1A, Desa Senadin, 98100 Mi­ri, Sarawak.

Kerajaan negeri melalui Kementerian Utili­ti dan Telekomunikasi Sarawak mendakwa, loji berkenaan beroperasi seca­ra haram atau tanpa permit di bawah Seksyen 7(e) DGO 2016.

Notis itu kemudiannya dijawab Petronas dengan mengatakan bahawa mereka mempunyai hak dan kuasa secara statutori untuk menjalankan sebarang aktiviti atau operasi berkaitan petroleum di Sarawak.

Menurut Petronas, hak dan kuasa itu termaktub di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 yang membolehkan anak syarikatnya, PCSB mengawal selia semua aktiviti berkaitan petroleum di Malaysia, terma­suk di Sarawak.

“Kami menghormati aspirasi Kerajaan Negeri Sarawak, namun Petronas juga mempunyai tanggungjawab untuk menegak­kan PDA 1974 dan menjaga ke­pentingan negara.

“Petronas akan terus menja­linkan kerjasama secara membi­na serta bekerja rapat dengan Kerajaan Persekutuan, Keraja­an Negeri Sarawak dan Petros dalam meneroka penyusunan masa depan.

“Ia penting bagi memastikan kejelasan dari segi peraturan dan kesinambungan operasi demi manfaat industri, negeri dan negara secara keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya