PUTRAJAYA: Penutupan pangkalan haram atau laluan tikus di sempadan Malaysia-Thailand membuahkan hasil dan menyumbang kepada penurunan jumlah penagih dadah di seluruh negara bagi suku pertama tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, statistik terbaharu iaitu sehingga Mac lalu mendedahkan, seramai 108,409 penagih dan penyalahguna dadah atau bahan di kesan di seluruh negara.
“Data itu menunjukkan penurunan sebanyak 10.5 peratus berbanding 121,170 kes bagi tempoh yang sama
pada tahun 2024.
“Penurunan itu dikaitkan dengan menurunnya angka kes di Kelantan. Itu sangat dikaitkan kerana kami sudah menutup pangkalan haram dan jalan tikus di Kelantan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Katanya, antara penyumbang utama kepada penurunan itu adalah meluncurkan satu gerakan penguatkuasaan dan memperhebatkan program kesedaran.
Saifuddin dalam ucapan berkata, bagi setiap 100,000 penduduk, Kelantan mencatatkan nilai paling tinggi iaitu
sebanyak 1,130 orang penagih diikuti Terengganu (974 orang), Perlis seramai 965 orang, manakala Kedah seramai 898 orang.
“Bagi statistik daerah pula menyaksikan daerah Pendang, Kedah mencatatkan kes paling tinggi iaitu seramai 1,798 orang diikuti Kuala Krai, Kelantan (1,442 orang) manakala Bachok, Kelantan pula seramai 1,315 orang,” katanya.
Data sama mendedahkan dadah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS) terdiri daripada Methamphetamine (Syabu), Ecstacy dan Amphetamine menjadi pilihan penagih dengan jumlah peningkatan sebanyak 34.4 peratus atau 139,909 kes berbanding tahun 2023.
Bagaimanapun dadah jenis ganja turut mengalami peningkatan ketara dengan jumlah 7,121 kes meningkat sebanyak 63.4 peratus berbanding sebanyak 4,358 kes pada tahun 2023.
Statistik terbaharu sehingga Mac 2025 menyaksikan, dadah jenis ATS masih merupakan kategori dadah paling dominan dengan 76,510 kes (70.58 peratus) pada 2025. – UTUSAN