Penunggang motosikal maut dirempuh van langgar lampu isyarat merah

Penunggang motosikal maut dirempuh van langgar lampu isyarat merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah van yang melanggar lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Senawang 1 dekat persimpangan lampu isyarat Taman Matahari Height, Senawang tengah malam tadi.

Ia merupakan lokasi sama meragut nyawa tiga remaja yang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal yang dirempuh sebuah kereta turut melanggar lampu isyarat berwarna merah dalam kejadian 6 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian pukul 12.10 tengah malam tadi, mangsa berusia 20 tahun dan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR cedera parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian. 

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah van jenis Toyota Hiace yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 44 tahun bersama seorang penumpang perempuan berumur 20 tahun sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Bahau.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu van dipercayai telah gagal berhenti di lampu isyarat warna merah lalu melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.

“Akibat kemalangan, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu dan penumpang van Toyota Hiace tidak mengalami kecederaan. 

“Mangsa yang maut telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian manakala pemandu van telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini. 

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN