SERI KEMBANGAN: Penerbit dan pengarah urusan D’Ayu Pictures, Datuk Rosmarayu Mokhtar, bercadang mahu membawa filem Mencari Ramlee untuk ditayangkan di China.
Tambah Ayu, filem Mencari Ramlee arahan Megat Sharizal dengan genre drama berpotensi besar untuk ditayangkan di pawagam negara China melihat kepada selera penontonnya yang tidak menyukai filem bergenre seram.
“Kami dimaklumkan sekiranya mahu menayangkan filem Malaysia di sana, mereka tidak berminat dengan filem seram atau horor kerana dilihat mengganggu budaya.
“Mereka lebih cenderung menonton filem dengan genre drama atau kekeluargaan. Oleh itu, kami akan cuba menjual filem di bawah penerbitan kami seperti Mencari Ramlee dan juga Anak Medan, iaitu filem kolaborasi dengan penerbit dari Indonesia.
“Kami sedang melalui proses perbincangan dan ‘pitching’. Sekiranya mereka berminat, kita akan beri mereka tonton filem itu secara penuh kemudian akan dimaklumkan berapa pawagam mereka akan beri untuk ditayangkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Majlis D’Ayu Pictures Gathering, baru-baru ini.
Jelas Ayu, pihaknya baru sahaja pulang dari Guangzhou, China bagi mencari peluang tayangan di sana, minggu lalu.
Sementara itu, walaupun Mencari Ramlee belum memulakan tayangan, namun sudah ada permintaan tinggi untuk naskhah itu ditayangkan di Indonesia.
“Sejak kita umumkan penayangan Mencari Ramlee di Malaysia 19 Jun ini, kami sudah mula menerima permintaan daripada selebriti Indonesia yang mahukan filem ini turut ditayangkan di negara seberang.
“Di Indonesia, mereka juga meminati Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Ramai yang mesej saya menerusi Instagram termasuklah Acha Septriasa untuk bawa filem ini ke sana.
“Saya akan usahakan, cuma mungkin tidak boleh ditayangkan di Cinema 21 kerana sudah penuh dengan 300 lagi filem Indonesia menunggu tarikh tayangan. Jadi, kita akan cuma dapatkan pawagam lain,” jelasnya.
Filem Mencari Ramlee tentang Zakaria, seorang peniru gaya (impersonator) P. Ramlee yang mempunyai masalah kewangan dan mempunyai kesukaran untuk mendapat kerja kerana populariti P. Ramlee yang sudah merudum.
Mencari Ramlee akan mula ditayangkan di Malaysia pada 19 Jun ini. – UTUSAN