Penjawat awam rugi RM50,000 ditipu waran tangkap palsu

Penjawat awam rugi RM50,000 ditipu waran tangkap palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Gara-gara takut diugut dengan waran tangkap, seorang penjawat awam kerugian RM50,000 selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian dengan menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, wanita berusia 40 tahun itu menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali pada Selasa lalu yang memaklumkan kad Touch ‘n Go miliknya telah disambungkan dengan kad kredit individu lain

Menurutnya, suspek memberitahu pemilik kad kredit itu membuat aduan kerana mengalami kerugian sebelum panggilan itu disambungkan kepada pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

“Mangsa dimaklumkan bahawa dia terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram dan pengedaran dadah di mana waran tangkap ke atas mangsa telah dikeluarkan oleh Bukit Aman.

“Mangsa juga dikatakan telah terlibat menjual kad bank miliknya kepada seorang lelaki yang ditangkap semasa serbuan selain bersubahat menerima komisyen hasil penjualan dadah sebanyak RM228,000,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek juga menakut-nakutkan mangsa bahawa rumahnya akan digeledah sekali gus mencadangkan agar dia menyimpan aset berharganya kepada suspek.

Katanya, bimbang dengan keadaan tersebut, mangsa menyerahkan barang kemas miliknya dan ibu kepada suspek di hadapan sebuah klinik pergigian di Pusat Perniagaan Falim di sini.

“Mangsa yang mula menyedari dirinya ditipu telah membuat laporan polis keesokan harinya.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya mengesan nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan suspek melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya.

Tambahnya, seorang wanita berusia 56 tahun ditahan pada hari sama bersama sebuah kereta jenis Perodua Myvi, surat pajak gadai, tiga utas rantai tangan, seutas rantai leher, dua bentuk cincin, empat keping jongkong emas dan dua keling syiling perak.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku telah mengambil barang kemas tersebut daripada mangsa atas arahan pihak tidak dikenali melalui panggilan telefon.

“Suspek telah ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN