SEREMBAN: Seorang penjaga stor dan enam lelaki warga Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan memiliki barang kawalan iaitu 17,232 kilogram (kg) gas petroleum cecair (LPG) secara haram, hujung bulan lalu.
Dalam prosiding kes, penjaga stor itu, Chong Ming Fei, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hazeelia Muhammad.
Enam tertuduh warga Myanmar, Min Min, Thar Tun, Thein Than Oo, Aung Min Tun, Kyaw Thu Ya dan Myo Thu Htet berusia 22 hingga 27 tahun tidak membuat sebarang pengakuan kerana tidak memahami Bahasa Melayu.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh dengan niat bersama telah ada dalam milikan mereka barang kawalan iaitu 17,232 kg LPG dengan perbuatan mengilang LPG tanpa lesen.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 9 malam di sebuah premis di Jalan Lombong Emas, Kawasan Industri Ringan Jalan Tun Dr Ismail di sini pada 30 April lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 21(1) akta sama. Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Putrajaya, Sallim Wahid memohon jaminan sebanyak RM30,000 bagi tertuduh lelaki tempatan, dan tiada jaminan ditawarkan terhadap semua tertuduh warga Myanmar.
Ming Fei dalam rayuannya memohon jaminan rendah dengan alasan bekerja sebagai penjaga stor bergaji RM3,500 dan menanggung adik bongsu yang masih bersekolah serta ibu bapa.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri setiap bulan di Pejabat KPDN Seremban serta menyerahkan pasport.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula untuk kehadiran jurubahasa bagi warga Myanmar dan serahan dokumen pada 5 Jun ini. – UTUSAN