Peniaga raih untung RM9,700 tetapi rugi RM720,800

Peniaga raih untung RM9,700 tetapi rugi RM720,800

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang peniaga berputih mata akibat mengalami kerugian sebanyak RM720,800 selepas terperdaya dengan sindiket pelaburan saham dalam talian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Victor Genason berkata, mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 58 tahun tertarik dengan iklan pelaburan di Facebook, pada 25 Mac lalu.

Katanya, iklan tersebut mendakwa pelabur bakal beroleh keuntungan sehingga 50 peratus dalam tempoh tiga bulan.

“Tertarik dengan pelaburan itu, mangsa membuat 15 transaksi ke empat akaun berbeza berjumlah RM730,500 antara 25 Mac hingga 9 Mei lalu.

“Mangsa mendapat pulangan RM9,700, sebelum diminta membuat pelaburan tambahan untuk mengeluarkan baki wang yang didakwa sebagai keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Victor Genason, mangsa membuat laporan polis setelah menyedari dia telah menjadi sasaran sindiket scammer.

“Siasatan awal mendapati tiga daripada empat akaun terlibat terbabit dengan 20 laporan polis bersabit penipuan pelaburan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN