PETALING JAYA: Seorang pengurus syarikat berusia 72 tahun menanggung kerugian sebanyak RM5.02 juta selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan tidak wujud yang beroperasi menerusi aplikasi media sosial.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd. Zaini Abu Hassan berkata, mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang selepas menyedari ditipu sindiket tersebut.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pada awal Mac lalu, mangsa melihat satu iklan pelaburan atas nama Philip Capital Management di platform Facebook sebelum menghubungi individu disyaki suspek melalui aplikasi WhatsApp.
“Mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang dinamakan ‘PCM Wealth Growth Exchange’ dan diarahkan untuk memuat turun satu aplikasi pelaburan dikenali sebagai Mstrom serta mendaftar sebagai pelabur baharu.
“Selepas itu, mangsa telah membuat beberapa transaksi bayaran secara berperingkat ke empat akaun bank berbeza atas tujuan pelaburan berjumlah keseluruhan RM5.02 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Zaini, mangsa mula menyedari telah diperdaya apabila diminta membuat bayaran tambahan kononnya cukai untuk mengeluarkan pulangan pelaburan yang dijanjikan.
Tambahnya, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada terhadap iklan-iklan pelaburan yang menjanjikan pulangan tidak munasabah terutama yang ditawarkan melalui media sosial dan aplikasi tidak sah.
“Orang ramai boleh membuat semakan terlebih dahulu dengan Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia terhadap mana-mana aplikasi atau skim pelaburan yang meragukan.
“Sebarang panggilan atau tawaran mencurigakan boleh dilaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya. – UTUSAN