PETALING JAYA: Pengisytiharan Hari Raya Aidiladha tahun ini akan dibuat pada pukul 8 malam ini menerusi siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) di TV1.
Menurut RTM, ia akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad selepas melihat anak bulan Zulhijjah pada petang ini iaitu Selasa, 27 Mei bersamaan 29 Zulkaedah 1446 Hijrah.
Pengumuman Hari Raya Aidiladha itu juga akan disusuli dengan pengisytiharan tarikh Awal Zulhijjah.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Zulhijjah ialah pada petang Selasa, 27 Mei bersamaan 29 Zulkaedah 1446 Hijrah.
“Jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenan melihat anak bulan Zulhijjah pada petang hari ini di tempat yang telah ditetapkan di seluruh negara.
“Majlis Raja-Raja juga telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Awal Zulhijjah adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.
“Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan tarikh Awal Zulhijjah pada malam ini juga,” katanya. – UTUSAN