BACHOK: Seorang ibu penghidap angin ahmar menangis sejurus melihat anak sulungnya, Nor Ainatasya Mohamad Hamizi, 25, menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Agroteknologi) pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kali Ke-14 di sini.
Syakimah Md. Noor, 48, yang berkerusi roda ditemani tiga anaknya untuk melihat dan merasai sendiri detik bersejarah tersebut.
Nor Ainatasya berkata, sebaik sahaja menamatkan pengajian, dia mahu merealisasikan impian ibu bapanya menjadi usahawan tani yang berjaya.
“Ibu yang minta saya mengambil jurusan dalam bidang agrokultur. Kata ibu, bidang ini mempunyai potensi yang besar dan mampu mengubah nasib keluarga jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh,” katanya selepas Majlis Istiadat Pemasyhuran Pro-Canselor dan Konvokesyen UMK Kali Ke-14.
Nor Ainatasya berkata, sebagai permulaan dia perlu mengumpul wang untuk dijadikan modal.
Katanya, buat masa ini dia sedang mencari pengalaman dengan bekerja di sebuah syarikat swasta dalam bidang pertanian di Gurun, Kedah.
“Saya juga mengimpikan memiliki kebun pisang sendiri bagi meneruskan legasi ayah dan ibu yang mengusahakan sendiri kerepek pisang di rumah,” ujarnya. – UTUSAN