MELAKA: Seorang penghantar barang berdepan hukuman penjara maksimum selama 56 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak empat wanita pada Februari dan April lalu.
Tertuduh, Ahmad Reezqan Jaliludin, 31, membuat pengakuan itu sejurus empat pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Haderiah Siri.
Berdasarkan empat kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan rompakan ke atas harta milik seorang wanita warga asing dan melarikan beg tangan yang mengandungi sebuah telefon bimbit serta barangan lain dianggarkan bernilai RM2,500.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 9.15 malam di lorong jalan Rumah Pangsa Bachang Permai dalam daerah Melaka Tengah pada 23 Februari 2025.
Tertuduh juga didakwa merompak tiga wanita lain berumur 27, 49 dan 70 di kaki lima pasar raya Kipmall dan kawasan parkir Lotus Peringgit dalam daerah Melaka Tengah pada 22 dan 23 April 2025.
Kesemua kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta sama, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar dan Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Peguam Umar Zulkarnain merayu jaminan rendah dengan dua penjamin kerana anak guamnya perlu menanggung seorang isteri yang tidak bekerja dan akan dijamin oleh kakak tertuduh yang bekerja sebagai kerani dengan pendapatan RM2,500 sebulan.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin, membenarkan syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 17 Jun ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN