PETALING JAYA: Seorang pengawal keselamatan maut selepas dipercayai ditetak oleh rakannya dalam satu insiden pergaduhan di Taman Intan Baiduri, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut pada pukul 9.23 malam sebelum anggota tiba di lokasi tiga minit kemudian.
‘Siasatan awal mendapati mangsa berusia 44 tahun telah pergi ke sebuah kuil sebelum duduk minum bersama sekumpulan lelaki di hadapan rumah ibadat tersebut.
“Berlaku pertengkaran antara mangsa dengan suspek sebelum suspek beredar pergi, namun kembali semula dengan senjata lalu menetak mangsa sehingga maut,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Jelasnya, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara kedua-dua individu yang mengenali satu sama lain.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat bagi membantu siasatan lanjut kes tersebut.
“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek yang telah bertindak melarikan diri,’ ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN