Pengasuh Baby Syifaa kemuka representasi kedua 

Pengasuh Baby Syifaa kemuka representasi kedua 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Peguam yang mewakili  pengasuh ‘Baby Syifaa’ atau Nour Rania Asyifaa Yuseri akan mengemukakan representasi kedua kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) selepas representasi pertama ditolak pada bulan Mac lalu.

Ia berhubung pertuduhan melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian bayi itu di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan, tiga tahun lalu.

Peguam, S. Kavittha yang mewakili tertuduh, Khairunnisa Ahmad Damanhuri, 40, memaklumkan perkara itu ketika prosiding sebutan kes di Mahkamah Sesyen di sini hari ini di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

“Saya baru terima arahan daripada anak guam untuk mengemukakan representasi kedua dan mohon tarikh bicara ditetapkan untuk dimasukkan status representasi itu,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Intan Noorashikin Nasaruddin pula berkata, tertuduh dalam jaminan dan pihak pendakwaan memohon tarikh perbicaraan kes selama empat hari pada 17 dan 18 September serta 9 dan 13 Oktober depan dikekalkan.

Mengikut pertuduhan, Khairunnisa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan Nour Rania Asyifaa Yuseri berusia 15 bulan telah mengabaikan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 12.30 tengah hari di Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022. Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh bicara dikekalkan pada 17 dan 18 September serta 9 dan 13 Oktober depan.

Sebelum ini, media melaporkan pada 31 Julai 2024, Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian Baby Syifaa yang ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan disebabkan tekanan pada leher.

Seramai 28 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk ibu dan bapa Baby Syifaa sepanjang prosiding inkues bermula 22 September 2022. Pada 30 Mac 2022, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN