PUTRAJAYA: Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative) iaitu agensi di bawah Kementerian Komunikasi hari ini mengumumkan program insentif penganjuran konsert dan acara bertaraf antarabangsa (CEMI) akan mula dibuka untuk permohonan bermula esok hingga 10 Julai depan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, CEMI merupakan inisiatif yang bertujuan memacu pertumbuhan dan pembangunan industri konsert serta acara di Malaysia bagi menarik lebih banyak acara bertaraf antarabangsa dan berkualiti ke negara ini.
Menurut beliau, inisiatif tersebut berpotensi untuk menjana peluang pekerjaan, meningkatkan jumlah pelancongan dan memberikan impak ekonomi yang signifikan kepada negara.
“Inisiatif CEMI akan menawarkan insentif kewangan kepada penganjur acara yang memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan.
“Kriteria tersebut merangkumi skala acara, impak ekonomi dan peningkatan kadar pelancongan yang dijangka, penglibatan kandungan tempatan dan pematuhan kepada garis panduan program,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan Perpaduan memaklumkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setakat ini masih belum menerima sebarang permohonan untuk menyekat aplikasi e-hailing dari Russia iaitu InDrive dan Maxim yang diarah untuk menghentikan operasi mereka berkuat kuasa 24 Julai ini.
Jelasnya, MCMC sedia melaksanakan sekatan itu berdasarkan undang-undang sekiranya menerima permohonan berkenaan.
“Pada waktu ini MCMC tidak memaklumkan kepada saya mengenai permohonan dari Kementerian Pengangkutan untuk mengambil tindakan, ia boleh diambil berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Tapi pada waktu ini, setakat hari ini, belum lagi menerima permohonan terbabit dan sekiranya diberikan (permohonan), maka MCMC akan menjalankan tugas berdasarkan undang undang,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, dua aplikasi e-hailing dari Russia iaitu InDrive dan Maxim diarah menghentikan operasi mereka berkuat kuasa 24 Julai ini dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sudah menghantar surat memberhentikan operasi kepada dua aplikasi e-hailing itu baru-baru ini. – UTUSAN