SUBANG JAYA: Ketelusan dalam pengurusan tuntutan insurans terus dipersoal mangsa letupan paip gas di Taman Topaz, Putra Heights apabila mendakwa wujud klausa berat sebelah dalam polisi yang lebih memihak kepada syarikat berbanding mangsa terkesan.
Presiden Persatuan Penduduk Taman Topaz, Wong Lhu Yin berkata, terdapat syarat-syarat tertentu dalam polisi insurans memberi kelebihan kepada syarikat, sedangkan mangsa terpaksa menanggung beban kewangan dan psikologi yang berpanjangan.
katanya, terdapat klausa yang seolah-olah digubal untuk melindungi kepentingan syarikat, bukan mangsa. Bahkan, ada yang diarahkan untuk memulangkan wang insurans jika berjaya mendapatkan bantuan.
“Penilaian dilakukan sekadar melihat dari luar, bukan siasatan terperinci. Ini merugikan mangsa yang berhak mendapat pampasan sewajarnya,” katanya ketika ditemui dalam dialog bersama penduduk Taman Topaz di sini, hari ini.
Seramai 65 wakil penduduk hadir dalam satu sesi dialog awam bagi menyuarakan kebimbangan mereka secara terbuka, sebelum isu tersebut dibawa ke mesyuarat bersama pihak berkuasa dalam masa terdekat
Lhu Yin berkata, isu ketidaksamarataan agihan bantuan turut dibangkitkan oleh penduduk apabila segelintir daripada mereka masih belum menerima bantuan walaupun mengalami kerosakan menyeluruh.
“Ramai yang sudah terlalu lama menunggu bantuan yang dijanjikan. Ada yang telah tersenarai tapi sampai sekarang belum mendapat apa apa bantuan,” katanya.
Sementara itu, penduduk Azam Mokhtar, 36, menyifatkan sesetengah syarikat insurans tidak beretika apabila menetapkan persetujuan untuk menyaman pihak ketiga sebagai syarat tersembunyi dalam tuntutan.
“Semasa saya diberi surat tawaran tuntutan dari syarikat insuran, saya dapati tandatangan saya turut dianggap sebagai persetujuan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat.
“Saya hanya mahu tuntut hak sendiri, bukan terbabit dalam saman yang saya sendiri belum bersedia atau tidak tahu hujung pangkalnya,” katanya.
Katanya, sebagai seorang doktor di klinik swasta, beliau mendedahkan bahawa kos rawatan untuk penduduk Taman Topaz sahaja sudah mencecah RM2.6 juta, membabitkan lebih 30 individu yang masih menjalani rawatan susulan.
“Ramai mangsa belum mampu lunaskan bil hospital. Kalau insurans enggan tanggung dan kerajaan belum salur bantuan penuh, siapa yang akan bantu selesaikan bil yang tertunggak ini?” katanya. – UTUSAN