Penduduk mahu hapus anjing liar sebelum nyawa melayang

Penduduk mahu hapus anjing liar sebelum nyawa melayang

ANJING liar berkeliaran di Kampung Bahagia di Teluk Intan, Perak ketika tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Penduduk Kampung Bahagia di sini bimbang terhadap keselamatan mereka berikutan kehadiran anjing liar yang semakin banyak di kampung itu.

Penduduk mendakwa, anjing liar itu dipercayai mencari makan di kawasan pembuangan sampah di kampung tersebut.

Seorang penduduk, Mohd Arif Rasit, 70, berkata, dia berdepan detik cemas apabila sekumpulan kira-kira 16 ekor anjing liar cuba menyerangnya ketika dia sedang menjemur pakaian di halaman rumahnya baru-baru ini.

Katanya, dia cuba melarikan diri daripada diserang haiwan itu, namun terjatuh sehingga mengalami kecederaan pada kaki.

“Saya bimbang anjing ini menyerang manusia, haiwan ini mungkin menjadi lebih agresif dan menyerang sesiapa saja terutama kanak-kanak.

“Sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini saya berharap pihak yang berkenaan segera menangkap haiwan liar ini. Kehadiran haiwan liar semakin banyak, menyebabkan kami semakin bimbang,” katanya.

Dia difahamkan ada berlaku kes haiwan liar itu menyerang dan memakan ayam kampung yang diternak penduduk.

“Biasanya kalau waktu malam, berpuluh-puluh ekor anjing berkeliaran di kampung ini, bergaduh dan menyalak yang membuatkan penduduk rasa tidak selesa, hendak keluar rumah pun takut.

“Gangguan haiwan itu bukan sekadar mengancam keselamatan, malah menjejaskan kebersihan persekitaran di kampung ini kerana anjing ini turut membawa sampah dari pusat pembuangan sampah hingga ke halaman rumah penduduk,” katanya.

Seorang lagi penduduk di Lorong 1B kampung tersebut, Yursi Sanusi, 30, pula berkata, dia berasa takut untuk keluar ke tempat kerja di pasar pada waktu malam berikutan kehadiran haiwan liar itu yang semakin banyak sekitar pukul 3 pagi.

“Haiwan ini dipercayai datang dari tempat pembuangan sampah yang terletak tidak jauh dari kampung ini yang menjadi sumber makanan haiwan itu.

“Saya berharap pihak berwajib mengatasi masalah anjing liar di sini. Kami bimbang terhadap keselamatan kami selain bimbang jika haiwan ini membawa penyakit anjing gila,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN