JEMPOL: Tempoh 15 minit petang semalam mencemaskan penduduk sekitar Felda Lui Barat di sini apabila rumah didiami mereka rosak termasuk atap yang diterbangkan angin ribut.
Seorang penduduk, Vidawati Khalib, 48, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu dia sedang berehat di dalam sebelum tiba-tiba terdengar bunyi angin kuat diikuti dentuman dari luar rumahnya.
“Saya mulanya dengar bunyi hujan lebat, saya ingatkan hujan biasa je. Tidak lama selepas tu dengar bunyi macam benda terbang.
“Saya mula tidak sedap hati, saya bangun melihat ke luar ada angin berputar di depan rumah, dan kemudian angin kuat di dalam rumah menyebabkan barang-barang di ruang tamu juga berterbangan.
“Saya dan dua anak juga hampir terperangkap dalam rumah mujur adik ipar datang menyelamatkan dan membawa kami keluar,” katanya ketika ditemui di sini.
Seorang lagi penduduk, Kalsum Khalib, 40, ketika kejadian dia hanya bersama empat orang anak berusia enam hingga 16 tahun di dalam rumah.
“Kami hanya dapat berpelukan dan anak-anak menangis, selepas keadaan sedikit reda barulah kami keluar menyelamatkan diri. Sampai sekarang saya masih trauma dan tidur pun masih terngiang-ngiang dengan kejadian yang berlaku” ujarnya.
Susulan kejadian itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lui Barat pada pukul 6.45 petang semalam yang menempatkan 25 orang mangsa terdiri daripada lima keluarga.
Sementara itu, Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan , Datuk Seri Jalaluddin Alias, memaklumkan setakat ini sebanyak 72 buah rumah di Felda Lui Barat dan 15 rumah Kampung Air Hitam dilaporkan mengalami kerosakkan teruk akibat kejadian ribut itu.
“Saya sudah minta Pegawai Daerah Jempol dan ADUN Sungai Lui untuk memastikan kerja-kerja pembaikan serta-merta bermula hari ini sehingga keadaan rumah boleh diduduki semula,” katanya. – UTUSAN