PETALING JAYA: Pendedahan terbuka Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengenai kelemahan proses pemilihan parti itu termasuk menerusi platform audio siar baru-baru ini boleh menjejaskan imej PKR dan membuka ruang serangan lawan.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, pendekatan menggunakan audio siar dalam menyuarakan kritikan dalaman adalah tidak sesuai biarpun bertujuan mahu memperbaiki kelemahan dalam sistem sedia ada.
“Penggunaan podcast dalam kalangan ahli politik kini menjadi satu trend baharu namun ia bukan saluran terbaik mendedahkan isu dalaman yang bersifat sensitif.
“Sebaliknya kritikan terhadap Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) perlu dibuat secara tertutup demi menjaga reputasi dan kekuatan parti, lebih-lebih lagi menjelang pemilihan 24 Mei ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mazlan berkata tindakan Rafizi itu, meskipun berpaksikan kejujuran tetapi ia boleh menimbulkan tanggapan negatif dan merosakkan kredibiliti JPP yang dipengerusikan Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.
“Kritikan strategik seperti itu boleh dimanipulasi musuh politik dan dijadikan bahan kempen untuk menyerang PKR, khususnya dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Rafizi baru-baru ini menggunakan platform podcast bertajuk Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri? Bagi menjawab persoalan melibatkan beliau menjelang Pemilihan PKR pada 24 Mei ini.
Beliau turut menyentuh mengenai dakwaan kelemahan sistem tapisan keahlian, menyebabkan calon-calon yang meragukan boleh bertanding dan menang dalam pemilihan cabang.
Sementara itu, penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, kritikan dilontarkan Rafizi ada asasnya kerana beberapa insiden sepanjang proses pemilihan membuktikan berlaku kelemahan dalam pengurusan parti.
Antara perkara yang dibangkitkan termasuk isu keahlian calon yang sepatutnya ditapis lebih awal namun hanya diteliti selepas keputusan diumumkan.
“Kritikan Rafizi itu memang tepat kerana ramai dalam kalangan rakan-rakannya tewas semasa pemilihan cabang. Rafizi menyatakan bahawa inilah puncanya.
“Tambahan pula, apabila Dr. Zaliha menyebut bahawa kira-kira 28 individu perlu dikenakan tindakan disiplin kerana bertanding walaupun keahlian PKR mereka diragui dan dua daripada mereka telah pun menang, maka perkara ini sememangnya menimbulkan persoalan” katanya. – UTUSAN










