PETALING JAYA: Langkah kerajaan menambah kuota solar di bawah program pemeteran tenaga bersih (NEM) untuk kategori NEM Rakyat cukup penting kepada industri solar Malaysia.
Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk Ir Guntor Tobeng berkata, NEM Rakyat dapat merangsang permintaan pasaran kerana ia adalah insentif kepada pengguna domestik untuk memasang sistem solar fotovoltaik (PV) kerana ia boleh di off-setkan dengan tenaga yang dibekalkan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Katanya, dengan cara itu ia akan membantu mengurangkan bil elektrik mereka setiap bulan yang mana ini akan membantu meningkatkan permintaan sistem solar di sektor kediaman.
“Dengan ini ia akan mendorong pertumbuhan syarikat penyedia sistem solar dan perkhidmatan berkaitan,” katanya.
Guntor yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fakulti Kejuruteraan dan Elektrik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bahawa Kuota bagi Program Net Energy Metering (NEM) untuk kategori domestik atau NEM Rakyat akan ditambah sebanyak 100MW lagi, menjadikan jumlah keseluruhan kuota di bawah NEM Rakyat sejak pelaksanaannya pada tahun 2011 berjumlah 600MW.
PETRA dalam satu kenyataan berkata, kuota tambahan ini dibuka kepada semua pengguna kategori domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) sehingga 30 Jun 2025 atau sehingga kesemua kuota habis diagihkan, yang mana terdahulu.
Katanya, pengumuman PETRA itu juga akan membantu usahawan kecil menjimatkan perbelanjaan elektrik di mana tarif akan naik sebanyak 14 peratus pada Julai ini.
“Penambahan kuota NEM ini akan membantu mitigasi mereka kepada penggunaan tenaga solar yang lebih menjimatkan,” katanya.
Menurut Guntor, penambahan kuota itu turut membantu menyokong industri solar tempatan di mana program ini membuka ruang kepada kontraktor dan juruteknik tempatan untuk mendapatkan lebih banyak projek pemasangan.
“Pengilang tempatan untuk menghasilkan komponen sistem PV seperti panel dan inverter dan membantu perkembangan industri sokongan seperti pemantauan tenaga dan penyelenggaraan.
Selain itu katanya, ia akan turut membantu meningkatkan skala ekonomi industri solar fotovoltaik negara didorong oleh penyertaan aktif pengguna domestik.
Dengan itu katanya, ia akan memberi ruang kepada inovasi baharu yang akan membantu mengurangkan kos sistem solar melalui ekonomi skala.
“Apabila skala ekonomi lebih banyak pelaburan dalam R&D dan inovasi teknologi boleh berlaku kerana pasaran berkembang,” katanya.
Penambahan kuota itu juga katanya akan menyumbang kepada pembangunan tenaga boleh baharu negara kerana ia me menyokong Pelan Tindakan Tenaga Boleh Diperbaharui Malaysia (MyRER) dan aspirasi Neutral Karbon menjelang 2050.
“Penambahan kuota NEM Rakyat bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna individu melalui penjimatan bil elektrik, tetapi juga menjadi pemangkin pertumbuhan industri solar tempatan.
“Ia mewujudkan ekosistem mampan yang menggabungkan rakyat, industri, dan dasar negara ke arah masa depan tenaga bersih di Malaysia,” katanya. – UTUSAN