SEGAMAT: Seorang pemuda yang disyaki mengintai dan merakam gambar seorang wanita di dalam tandas di sebuah restoran di Bandar Putra, di sini menerima padah apabila dia ditahan baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu menggunakan telefon bimbitnya untuk merakam gambar mangsa yang sedang membuang air kecil di dalam tandas berkenaan pada pukul 10.38 malam, 4 Mei lalu.
“Ketika membuang air kecil, mangsa dikatakan menyedari terdapat pergerakan mencurigakan di sekitar tandas terbabit sebelum mengesan ada telefon sedang membuat rakaman.
“Mangsa kemudian bergegas keluar dari tandas dan mengesyaki seseorang telah melakukan rakaman itu.
“Mangsa membuat laporan beberapa minit selepas kejadian di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat dan suspek berjaya ditahan pada 9 Mei di sekitar Segamat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ahmad Zamry berkata, hasil pemeriksaan dalam telefon bimbit suspek terdapat kira-kira 16,000 gambar wanita yang dirakam dan dimuat turun oleh suspek berserta dua video rakaman wanita dalam tandas.
Kes disiasat di bawah Seksyen 377d/292 Kanun Keseksaan. – UTUSAN