BATU KAWAN : Seorang pemuda yang terjatuh dari bot ketika sedang menyauk kerang di Kilometer 4.2, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini semalam, akhirnya ditemukan lemas pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mayat mangsa, Ismail Ahmad, 28, dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berhampiran sangkar Sungai Udang di sini, kira-kira pukul 9.40 pagi.
Terdahulu katanya, operasi SAR diteruskan pagi ini melibatkan kekuatan sebanyak lima bot dan pencarian dibahagikan kepada empat sektor yang dikoordinasikan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dengan dibantu oleh JBPM, polis marin dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Mayat mangsa dijumpai kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh sebelum dibawa ke Jeti Batu Musang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya yang memberitahu, operasi SAR itu kemudian ditamatkan sepenuhnya kira-kira pukul 11.05 pagi.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menggunakan jaket keselamatan semasa melakukan aktiviti di laut sebagai perlindungan bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.
Semalam, media melaporkan bahawa bot yang dinaiki Ismail terlanggar tiang bernombor 274 di Jambatan Kedua Pulau Pinang sebelum pemuda yang bekerja sebagai nelayan itu terjatuh ke dalam laut akibat perlanggaran berkenaan.-UTUSAN