TELUK INTAN: Majikan kepada pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan dengan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam di sini pada Selasa lalu akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, siasatan itu akan merangkumi pelbagai isu iaitu kecuaian manusia, teknikal dan persekitaran.
“Kita akan menjalankan satu siri siasatan komprehensif termasuk juga pemilik syarikat dan keseluruhan.
“Pagi tadi, ada team (pasukan) yang ditubuhkan Kabinet (Kerajaan Pusat) berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak merangkumi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” katanya di sini hari ini.
Katanya, kehadiran agensi yang pakar dalam isu-isu teknikal dan penyelenggaraan kenderaan darat itu bagi membantu siasatan supaya mengelak kejadian serupa pada masa depan.
Namun, beliau tidak memaklumkan tarikh pemilik syarikat lori swasta itu akan dipanggil pasukan khas tersebut.
“Syarikat itu berpengkalan di Teluk Intan, syarikat tempatan dan pemandu orang tempatan yang berumur 45 tahun.
“Ditahan reman sehingga Sabtu ini untuk membantu siasatan,” katanya.
Berhubung dakwaan polis tidak mempunyai badan khas menguruskan sembilan anggota FRU yang terkorban dalam insiden itu dalam media sosial, Bakri menafikannya isu itu sama sekali.
“Apa yang berlaku ialah ada masyarakat awam, pertubuhan khairat kematian, pengurusan jenazah yang prihatin menawarkan khidmat secara percuma.
“Mereka sensitif dan terharu dengan insiden ini sebab itu kita tengok banyak jenazah diuruskan individu-individu yang saya sebutkan tadi kerana mereka berasa bertanggungjawab yang tinggi untuk membantu polis sehingga proses selesai,” katanya. – UTUSAN