BACHOK: Seorang pemilik sebuah spa dan salun kecantikan cedera di bahagian lengan selepas disimbah cecair yang dipercayai asid oleh tiga individu termasuk dua wanita yang tidak dikenali semasa berada di tingkat atas premisnya di pekan Beris Kubor Besar, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an yang masih memakai telekung selepas menunaikan solat maghrib berada di dalam kedainya bersama seorang anak.
Saksi kejadian yang merupakan peniaga berhampiran kawasan itu, Izati Aziz, 20, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar beberapa kali jeritan mangsa meminta pertolongan.
Menurutnya, dia turut mendengar mangsa menjerit supaya memanggil polis.
“Saya bergegas keluar dan mendapati mangsa masih memakai telekung solat dan menjerit meminta tolong sambil memimpin tangan anaknya. Peniaga pasar malam berhampiran premis mangsa terus membantu menghubungi polis,” katanya hari ini.
Izati memberitahu, dia melihat pemilik spa itu berlari ke klinik untuk mendapatkan rawatan dan mangsa dikatakan hanya cedera pada lengan kerana sempat menutup muka dengan telekung yang dipakainya.
“Difahamkan, mangsa menyedari kehadiran tiga individu termasuk dua wanita yang datang ke premisnya sebelum bertindak menyimbah cecair tersebut,” katanya. – UTUSAN