JOHOR BAHRU: Ribuan ahli PKR mula berhimpun di Hotel Berjaya Waterfront dan Pusat Konvensyen Danga Bay, di sini mula pukul 8 pagi ini untuk menghadiri kongres dan pemilihan PKR peringkat pusat yang berlangsung hari ini.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) bersidang dan melakukan proses pemilihan di Hotel Berjaya Waterfront manakala Wanita Keadilan di Pusat Konvensyen Danga Bay.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengundi bagi jawatan tertinggi parti pada pukul 12 tengah hari.
Lebih 9,000 perwakilan daripada 222 cabang hadir bagi proses pengundian secara fizikal, manakala lebih daripada 20,000 perwakilan akan mengundi secara dalam talian.
Kongres Nasional PKR yang mula berlangsung semalam merupakan himpunan terbesar dalam sejarah parti itu sejak ditubuhkan pada 1999.-UTUSAN