PETALING JAYA: Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2024/2025 yang berlangsung hari ini memberi tumpuan penuh kepada pemilihan kepimpinan baharu parti bagi penggal 2025–2028, sekali gus menjadi tumpuan penting dalam landskap politik nasional.
Proses pengundian bermula seawal jam 8 pagi dan dijadualkan berakhir pada 5 petang. Ia membabitkan seramai 32,030 pengundi secara fizikal dan dalam talian melalui aplikasi ADIL, melibatkan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Majlis Pimpinan Wanita.
Pengundian fizikal dilangsungkan di dua lokasi utama iaitu Berjaya Waterfront Hotel dan Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru.
Di Sabah dan Sarawak, proses mengundi diadakan di ITCC Penampang dan Pusat Konvensyen Penview, Kuching.
Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengundi secara fizikal di Berjaya Waterfront Hotel, Stulang, kira-kira jam 12 tengah hari ini selepas menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa memaklumkan keputusan pemilihan MPP PKR akan diketahui seawal-awalnya jam 9 malam ini.
Keputusan awal itu berkemungkinan diumumkan selepas selesai ucapan perasmian Anwar pada Kongres Nasional PKR 2025.
Pemilihan kali ini menyaksikan seramai 251 calon menawarkan diri bertanding dalam pemilihan, merangkumi 104 pencalonan bagi MPP, 85 calon bagi Majlis Pimpinan AMK dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.
Anwar tidak dicabar bagi jawatan Presiden, manakala jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli selaku penyandang.
Bagi jawatan Naib Presiden pula, 12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing, termasuk empat penyandang, iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan) dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Sementara itu, Timbalan Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan turut tidak dicabar bagi jawatan Ketua AMK, manakala jawatan Ketua Wanita PKR menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan dengan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.-UTUSAN