Pembunuhan Kevin Morais adalah ‘himpunan tindakan’ bagi mencapai niat bersama

Pembunuhan Kevin Morais adalah ‘himpunan tindakan’ bagi mencapai niat bersama

ANTHONY KEVIN MORAIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pembunuhan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Datuk Kevin Anthony Morais tidak boleh dilihat sebagai `satu aksi’ sebaliknya adalah himpunan pelbagai tindakan yang diambil bagi mencapai niat bersama membabitkan kematian mangsa.

“Sehubungan itu, walaupun tertuduh hanya mempunyai peranan kecil dalam keseluruhan insiden, dia tetap boleh disabitkan atas kesalahan (membunuh) kerana ia memenuhi elemen `niat bersama’ sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Oleh sabitan kesemua adalah selamat. Kami (pendakwaan) memohon agar rayuan (kesemua perayu) ditolak dan hukuman dikekalkan,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim dalam rayuan akhir enam individu yang didakwa membunuh Morais di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.

Enam individu itu adalah bekas pakar patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 62; bekas pemberi pinjaman wang, S. Ravi Chandaran, 54, dan empat penganggur, R. Dinishwaran, 33; A. K. Thinesh Kumar, 32; M. Vishwanath, 35, serta S. Nimalan, 32.

Pendakwa raya itu berhujah demikian bagi membalas hujahan peguam bela, Amer Hamzah Arshad yang sebelum ini menghujahkan bahawa anak guamnya, S. Nimalan tidak boleh dipertanggungjawabkan atas pembunuhan Morais.

“Saya tidak menyatakan bahawa anak guam saya wajar dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan membunuh tetapi dia tidak boleh disabitkan atas kesalahan itu hanya kerana dia berada di tempat kejadian. Dia (mungkin) terlibat dalam penculikan tetapi bukan atas pembunuhan,” kata Amer Hamzah.

Berkongsi sentimen sama, ialah peguam Kitson Foong yang mewakili Ravi Chandaran.

Hujah peguam terbabit, anak guamnya telah memberikan penjelasan terhadap penglibatannya termasuk kesan asid deoksiribonukleik (DNA) milik Morais yang ditemui pada kemeja T yang dipakainya.

“Anak guam saya telah menjelaskan bahawa darah milik Morais telah `dipindahkan’ kepada kemeja yang dipakainya selepas tangannya terkena darah Morais yang ada pada stereng kereta Morais. Darah Morais terkena pada stereng selepas berlakunya pelanggaran,” kata peguam itu.

Selain Amer Hamzah dan Kitson, perayu-perayu lain diwakili peguam-peguam bela, M. Manoharan (Dinishwaran), Datuk N. Sivananthan (Kunaseegaran), Burhanudeen Abdul Wahid (Thinesh Kumar) dan Afifuddin Ahmad Hafifi (Vishwanath).

Kesemua perayu dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Julai 2020 selepas didapati berlah atas tuduhan membunuh Morais dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Mac 2024.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan memaklumkan mahkamah memerlukan masa untuk membuat pertimbangan.

Turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang.

“Kami (Mahkamah) memerlukan masa untuk membuat keputusan. Satu tarikh keputusan akan ditetapkan kemudian,”ujarnya.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh Kevin ketika beliau dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya ke Nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara pukul 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.

Kevin dilaporkan hilang pada 4 September 2015, yang mana sebelum itu dilihat meninggalkan kondominiumnya di Menara Duta, dengan menaiki kereta Proton Perdana.

Mayatnya kemudian ditemukan dalam tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September 2015. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN