SEPANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang dibonceng dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di sini, pagi tadi.
Mangsa berusia 38 tahun berasal daripada Bagan Lalang maut serta merta di lokasi kejadian akibat cedera parah di beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu sekitar pukul 9.15 pagi di Jalan Sepang – Labu Lanjut.
Beliau berkata, ketika kejadian mangsa membonceng motosikal jenia Yamaha Y15ZR sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Proton Persona dari arah bertentangan.
“Kereta yang dipandu seorang lelaki itu turut merempuh sebuah lagi motosikal jenis Honda EX5 ditunggang seorang lelaki.
“Siasatan mendapati, mangsa yang maut dalam perjalanan dari rumah di Bagan Lalang menuju ke tempat kerja di Nilai, Negeri Sembilan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, akibat daripada pertembungan tersebut, mangsa telah tercampak ke bahu jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan tangan sebelum disahkan meninggal dunia.
Norhizam berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik IPD Sepang atau menghubungi Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-6488474,”katanya. – UTUSAN