PETALING JAYA: Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) menyifatkan pemberhentian operasi kepada dua aplikasi e-hailing, InDrive dan Maxim sebagai satu keadilan kepada para pemandu yang mematuhi undang-undang.
Penghantar dalam kenyataan memaklumkan, E-hailing Operator (eHO) InDrive sebelum ini pernah diambil tindakan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akibat daripada ketidakpatuhan mereka terhadap undang-undang sedia ada.
Katanya, InDrive tetap menjalankan beroperasi dengan menggunakan kaedah lain walaupun dalam tempoh penggantungan tersebut
“Ini jelas adalah satu tindakan penghinaan dan pencabulan terhadap kedaulatan undang-undang negara. Undang-undang yang telah dikuatkuasakan perlu dimartabatkan oleh semua pihak yang terlibat.
“Justeru, pengesahan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah memberikan kejelasan yang amat diperlukan kepada para pemandu yang bernaung di bawah dua syarikat tersebut, sekaligus memudahkan mereka merancang langkah seterusnya sekiranya ingin meneruskan perkhidmatan e-hailing mereka.
“Kebimbangan kami sebelum ini ternyata berasas apabila menteri mengesahkan bahawa kedua-dua syarikat berkenaan tidak mematuhi peraturan-peraturan di bawah akta sedia ada.
“Ini termasuk kegagalan memastikan semua pemandu mereka memiliki Lesen PSV yang sah, sekali gus menjejaskan keselamatan penumpang serta mencabuli undang-undang negara,” katanya.
Semalam, Kementerian Pengangkutan mengarahkan InDrive dan Maxim menghentikan perkhidmatannya berkuatkuasa 24 Julai ini kerana didakwa beroperasi secara haram.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, surat berhubung perkara itu sudah dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kepada dua aplikasi e-hailing tersebut.
Tambah Penghantar, pihaknya juga menerima laporan terdapat dakwaan bahawa sebahagian pemandu yang berdaftar di bawah salah satu syarikat terbabit menyerahkan perkhidmatan kepada warga asing, terutamanya di Sabah.
Jelasnya, amalan ‘Ali Baba’ bukan sahaja menjejaskan pendapatan pemandu tempatan malahan mendedahkan penumpang kepada risiko keselamatan yang amat tinggi.
“Sehubungan itu, sebagai sebuah pertubuhan berdaftar, Penghantar mendesak agar operasi penguatkuasaan serta tindakan segera dan tegas diambil bagi membanteras mana-mana pemilik lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang menyalahgunakan lesen mereka dengan menyerahkan khidmat e-hailing kepada warga asing, khususnya di Sabah,” katanya.
Penghantar pada masa sama juga menggesa agar pihak kerajaan memperkasakan undang-undang Industri GiG di Malaysia, khususnya Sektor E-Hailing dan P-Hailing, dengan mengikut kepada acuan industri ini.
“Pemerkasaan perlu melibatkan keseluruhan pemegang-pemegang taruh dan meliputi rantaian ekosistem industri. Ini juga adalah hasrat dan saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, melalui penubuhan Suruhanjaya Ekonomi GiG Malaysia (SEGiM).
“Ia bagi memastikan setiap perundangan itu adalah seimbang kepada semua pihak yang terlibat, termasuk juga impak pelaksanaan dan penguatkuasaan.
“Kami tidak mahu perundangan baru yang bakal diwujudkan akhirnya tidak mampu menyelesaikan isu dan permasalahan industri secara berkesan, tetapi akhirnya membebankan industri terutama kepada kami yang menyediakan khidmat e-hailing dan p-hailing,” katanya. – UTUSAN