Pembaharuan tidak popular tetapi perlu demi rakyat - Mohd. Shukri

Pembaharuan tidak popular tetapi perlu demi rakyat – Mohd. Shukri

PELAKSANAAN sistem parkir pintar kini berada pada fasa percubaan bagi membolehkan penambahbaikan dilaksanakan demi kebaikan semua pihak di Kangar, Perlis.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pembaharuan yang dibawa kerajaan negeri Perlis termasuk dalam pelaksanaan parkir pintar sememangnya bukan keputusan popular namun perlu direalisasikan demi kepentingan rakyat secara keseluruhan. 

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, beliau berharap rakyat negeri ini dapat bersabar sementara peringkat awal pelaksanaan sistem parkir baharu berkenaan.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya merujuk pihak Majlis Perbandaran Kangar (MPK) sekiranya timbul sebarang masalah.

Katanya, pelaksanaan sistem baharu itu adalah pada waktu yang tepat bagi memastikan Perlis tidak ketinggalan berbanding negeri-negeri lain. 

“Kalau sekiranya kita terus terjah menolak sesuatu pembaharuan yang dibuat ini, maka kita akan ketinggalan sampai bila-bila, kena berlapang dada. 

“Lama-kelamaan pelaksanaan ini akan diterima kerana rakyat Perlis terbuka mindanya, banyak keluar, lihat pembaharuan di tempat lain dan pastinya ingin terjemahkan benda itu di negeri sendiri,” katanya semalam.

Ketika pelaksanaan sistem parkir pintar di negeri ini masih berada dalam tempoh percubaan namun ia telah mendapat maklum balas negatif terutama di media sosial terutama berkaitan dakwaan menimbulkan kesesakan.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri turut mengingatkan mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan politik terhadap isu berkenaan agar tidak menghasut rakyat menolak pelaksanaannya.

Katanya, setiap parti dan ahli politik juga sepatutnya bersama-sama kerajaan negeri mendidik rakyat untuk menerima pembaharuan demi manfaat semua pihak. 

“Mereka sepatutnya bersama untuk mendidik rakyat dan kalau satu masa nanti mereka jadi kerajaan, kita juga akan bersama untuk pastikan rakyat boleh terima sebarang pembaharuan yang hendak dibawa. 

“Kita juga tidak mahu budaya menghasut kerana ia akan merugikan pembangunan negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN