SEREMBAN: Seorang pemandu kereta Honda Jazz yang masih di bawah umur akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) atas dua pertuduhan memandu sehingga menyebabkan tiga remaja maut dan tidak memiliki lesen memandu pada Mac lalu.
Peguam, Johan Radzi yang mewakili pesalah kanak-kanak lelaki berusia 17 tahun itu memaklumkan demikian ketika prosiding sebutan kes hari ini di hadapan Majistret Nurul Azuin Mohd. Talhah.
“Pihak pembelaan akan memfailkan representasi setelah meneliti dokumen-dokumen yang diperoleh daripada pihak pendakwaan,” katanya.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden, M. Shanmugavell berkata, pihak pendakwaan sedia menyerahkan dokumen kepada pihak pembelaan hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama, pesalah kanak-kanak itu sebagai pemandu Honda Jazz telah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17.
Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 8.30 malam di lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Height, Senawang di sini pada 6 Mac lalu.
Bagi pertuduhan kedua, remaja lelaki itu didakwa tidak memiliki lesen memandu di lokasi dan masa yang sama.
Sehubungan itu, dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda tidak kurang RM300 hingga RM2,000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi status representasi.
Pada 22 April lalu, pemandu Honda Jazz mengakui tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Sebelum ini media melaporkan, dalam kemalangan pada 6 Mac lalu kereta Honda Jazz dipandu remaja lelaki gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah lalu melanggar dua motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.
Dua disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian iaitu Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, dan Muhammad Aswari Lotpi, 16, sementara seorang lagi mangsa, Aisar Azim Abdullah, 17, meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban di sini pada 10 Mac lalu. – UTUSAN