GUA MUSANG: Seorang pemandu dikhuatiri lemas selepas pacuan empat roda yang dinaiki bersama dua lelaki warga asing hanyut semasa meredah arus deras Sungai Tendrik di Pos Bihai di sini, semalam.
Kejadian pukul 8.30 malam itu berlaku semasa bersama dua penumpang warga Pakistan dan Bangladesh dalam perjalanan menuju ke Kampung Pahong di Pos Bihai.
Bagaimanapun, kedua-dua warga asing itu sempat memecahkan tingkap pacuan empat roda terbabit dan berenang untuk menyelamatkan diri.
Sementara itu, seorang lagi pemandu
Maszlan Mohamad, 53, berkata, dia dimaklumkan berhubung kejadian itu pada pukul 9 malam semasa berada rumah kongsi di Kampung Pahong.
Menurutnya, dia sempat bertemu dua mangsa yang terselamat dalam kejadian tersebut.
“Sebelum kejadian dua lelaki itu memberitahu, mereka tiba di lokasi kira-kira pukul 5.30 petang dan ketika itu hujan lebat serta paras air meningkat.
“Mereka semua terpaksa menunggu selama tiga jam di pinggir sungai terbabit. Namun, kira-kira pukul 8.30 malam pemandu kenderaan terbabit membuat keputusan untuk meredah arus sungai kerana risau akan lambat tiba di rumah kongsi,” katanya.
Maszlan memberitahu, ketika meredah arus sungai, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hanyut sebelum tenggelam.
Katanya, pemandu kenderaan dikhuatiri dihanyutkan arus semasa cuba menyelamatkan diri berdasarkan terdapat kesan cermin pecah pada bahagian pemandu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo mengesahkan menerima laporan tentang kejadian yang berlaku dan siastan lanjut sedang dijalankan.-UTUSAN