TUMPAT: Seorang pemancing yang terjatuh ke dalam Sungai Pengkalan Nangka di Kampung Kok Kebit, di sini ditemukan lemas malam tadi.
Mayat Muhammad Salam Mohd. Daud, 27, ditemukan pada pukul 11.23 malam selepas timbul di permukaan sungai tidak jauh dari lokasi dia dikatakan terjatuh.
Bapanya, Mohd. Daud Che Hussien , 56, berkata sedih, dia bersyukur kerana urusan pencarian mayat anaknya itu dipermudah Allah SWT.
“Sejak mengetahui Muhammad Salam hilang, saya tidak putus-putus berdoa. Jika dia sudah meninggal dunia, timbullah agar jasadnya dapat disemadikan dengan sempurna,” katanya i di sini hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Mohd. Nazdy Mohd Noor, berkata, mayat mangsa ditemukan oleh orang awam pada pukul 11.23 malam selepas melihat objek terapung di permukaan sungai.
“Jasad mangsa timbul beberapa meter dari lokasinya tempatnya terjatuh. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya. Malam tadi, operasi pencarian dan menyelamat (SAR) hanya diteruskan dipermukaan sungai sahaja Elepas terpaksa ditamatkan pada pukul 7 malam kerana ribut,” katanya.
Terdahulu dilaporkan, kegembiraan dua sekawan untuk memancing bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas selepas tergelincir jatuh ke Sungai Pengkalan Nangka. – UTUSAN