Pelantikan wakil pembangkang dalam JKMR mampu tingkat keyakinan rakyat

Pelantikan wakil pembangkang dalam JKMR mampu tingkat keyakinan rakyat

JAIS ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelantikan wakil rakyat pembangkang dalam Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) merupakan langkah positif dalam memperkukuh prinsip semak dan imbang dalam tadbir urus negara.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pelantikan rentas parti itu selaras dengan Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sebagai anggota jawatankuasa tersebut.

“Langkah ini wajar dilihat sebagai usaha membina keyakinan rakyat bahawa agenda membanteras rasuah adalah tanggungjawab bersama, bukan milik satu pihak sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Ahli Dewan Negara, Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz merupakan antara tiga ahli baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) bagi tempoh tiga tahun sehingga 25 April 2028.

Selain Nik Mohamad Abduh, dua individu lain adalah Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan dan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan tersebut diyakini dapat memperkukuh usaha kerajaan dalam memerangi rasuah serta meningkatkan integriti dalam pentadbiran negara.

Bagaimanapun, bagi memastikan keberkesanan JKMR, Jais berkata, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan supaya jawatankuasa itu benar-benar memberi impak dalam usaha membanteras rasuah secara menyeluruh.

Antaranya, pelantikan anggota JKMR mestilah dibuat berdasarkan merit dan kepakaran, melibatkan individu mempunyai rekod bersih, tahap intelektual tinggi serta kefahaman mendalam mengenai dasar antirasuah.

Justeru, katanya, laporan mesyuarat dan dapatan JKMR perlu dibentangkan secara berkala kepada Parlimen serta boleh diakses masyarakat awam bagi menjamin ketelusan dan akauntabiliti jawatankuasa itu.

“JKMR juga digalakkan menjalinkan kerjasama strategik dengan badan masyarakat sivil seperti NGO antirasuah dan institusi akademik bagi memperkayakan cadangan reformasi dan memastikan suara rakyat terus diangkat,” katanya.

Selain itu, Jais berkata, semua anggota JKMR perlu menjalani latihan atau kursus khas berkaitan fungsi institusi antirasuah, kaedah pemantauan dasar awam dan prinsip integriti nasional.

“MCW yakin dengan gabungan komitmen politik, penyertaan rentas parti dan pendekatan profesional, JKMR mampu menjadi pemangkin kepada reformasi antirasuah yang lebih berkesan dan dihormati rakyat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya