PETALING JAYA: Pelajar Malaysia di luar negara perlu berusaha untuk menimba ilmu dan meneroka bidang-bidang baharu yang diperlukan tanah air.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ilmu yang diperoleh pelajar perlu diterjemah kepada daya saing negara meliputi prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan kemudahan infrastruktur.
Beliau yang mengadakan pertemuan bersama pelajar Malaysia di Russia menggesa agar mereka menjalankan tanggungjawab dan amanah dalam menimba ilmu.
“Anak-anak Malaysia di luar negara pula memikul amanah besar. Pelaburan berbilion ringgit oleh syarikat seperti Infineon, Google, Microsoft, NVIDIA dan ARMS hanya akan membuahkan hasil jika kita berjaya menyediakan bakat dan tenaga mahir yang mencukupi.
“Ilmu yang ditimba di rantau asing harus diterjemah kepada daya saing negara,” katanya dalam majlis dialog bersama pelajar Malaysia di Russia.
Anwar berkata, pelajar Malaysia di luar negara perlu terus berpegang teguh pada jati diri dan semangat kebangsaan yang membentuk kekuatan sebagai anak Malaysia.
Perdana Menteri turut menegaskan keyakinan bahawa Malaysia mampu terus berdiri teguh berpaksikan asas ekonomi yang kukuh serta semangat kebersamaan rakyat dari kalangan pimpinan, penjawat awam, penggerak masyarakat mahupun sektor swasta.
Katanya, kekuatan sesebuah negara bukan hanya terletak pada angka, tetapi pada tatakelola yang baik dan iltizam untuk menoktahkan budaya kebobrokan.
“Kita tidak mahu Malaysia dikenang kerana rasuah atau perpecahan kaum dan agama.
“Pemimpin harus menjauhi salah guna kuasa dan amalan memunggah kekayaan untuk diri dan keluarga, sebaliknya tampil rendah diri, mendengar pandangan rakyat untuk merangka dasar yang mengangkat darjat, harkat dan martabat negara,” jelasnya.
Dalam majlis sama, Perdana Menteri juga berkongsi beberapa cabaran geopolitik semasa, termasuk pelaksanaan tarif balas oleh Amerika Syarikat (AS).
Selain itu, Anwar memberi jaminan proses pengundian untuk rakyat Malaysia di luar negara khususnya pelajar akan dipermudahkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Kerajaan akan memperkenalkan sistem undi dalam talian bagi memastikan hak rakyat tidak dinafikan kekangan teknikal,” katanya. – UTUSAN