KEMAMAN: Gara-gara makan beberapa keping roti tanpa kebenaran, seorang pelajar lelaki di sebuah pusat tahfiz di daerah ini, cedera di bahagian kiri dahi dipercayai ditampar wardennya.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3.45 petang pada 26 April lalu.
“Mangsa yang berusia 16 tahun mendakwa dia ditampar beberapa kali oleh suspek pada bahagian muka semasa berada di dalam bilik asrama kerana dia makan roti yang disimpan untuk sarapan keesokan hari tanpa kebenaran dan melanggar peraturan.
“Roti yang dimakan adalah roti keping yang masih dalam bungkusan diletakkan di tempat simpanan makanan,” katanya hari ini.
Mohd. Razi berkata, mangsa yang cedera di bahagian kiri dahi itu membuat laporan polis kira-kira pukul 9.50 pagi keesokan harinya dan mendapat rawatan di Hospital Kemaman.
“Laporan pemeriksaan awal perubatan mangsa telah diperoleh dan kita juga telah mengambil keterangan warden itu yang berusia 41 tahun. Sia dilantik menjadi warden di tahfiz itu sejak Disember tahun lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN