Pekerja subkontraktor maut, kereta dirempuh bas dari belakang

Pekerja subkontraktor maut, kereta dirempuh bas dari belakang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang pekerja subkontraktor maut selepas kereta yang diberhentikannya di bahu jalan dirempuh sebuah bas henti-henti di bahu jalan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Taman Awan Biru di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang itu, mangsa, Muhammad Aiman Mohd Farid, 23, tercampak keluar dari kenderaannya akibat impak pelanggaran dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati mangsa memberhentikan kereta jenis Perodua Kembara dipandunya di bahu jalan sebelum dirempuh sebuah bas dari arah belakang.

“Bas jenis Golden Dragon yang dipandu lelaki berusia 37 tahun dalam perjalanan dari Melaka Sentral ke Alor Gajah dipercayai memasuki laluan bahu jalan dan melanggar belakang kereta mangsa yang ketika itu berhenti.

“Impak pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak keluar dan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat. 

Menurut Ashari, seorang lagi penumpang kereta, Muhammad Hakimi Hafiz Bahrain, 22 tahun mengalami luka-luka ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Pemandu bas serta seorang penumpang wanita berusia 53 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. 

“Ujian air kencing ke atas pemandu bas turut dijalankan dan didapati negatif dadah dan kenderaan terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan Puspakom. 

Tambahnya, permohonan reman terhadap pemandu bas akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan dan kes masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN