SEREMBAN: Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Nilai – Pajam di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, dalam kejadian berlaku jam 6.50 petang itu, mangsa seorang lelaki tempatan, berusia 30an meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal sebelum kejadian berlaku, motosikal jenis Honda RSX yang ditunggang mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Beranang menghala ke Nilai.
“Setiba di lokasi, sebuah kereta jenis BMW yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berumur lewat 60 an dipercayai sedang memotong kenderaan dihadapanya.
“Pada masa yang sama datang motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan, namun tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta tersebut.
” Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu kereta pula mengalami sakit di bahagian dada dan sedang menerima rawatan di hospital,” katanya ketika dihubungi.
Abdul Malik berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN