BUTTERWORTH : Seorang pekerja aksesori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, 12 tahun lalu.
Tertuduh, Ooi Chin Leng, 38, mengaku faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan Majistret Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-bersama seorang yang masih bebas didakwa membunuh Fouzi Hussen, 24, di Taman Desa Murni, Sungai Dua pada pukul 5.25 pagi, 24 Januari 2013.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 tahun hingga 40 tahun dan sekiranya tertuduh tidak dihukum mati, maka, dia hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Nurameera tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh selain memohon mahkamah menetapkan tarikh bagi mendapatkan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh susulan pendakwaan terhadapnya merupakan kes lama dan tertuduh baru ditangkap.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh untuk diikat jamin serta menetapkan 23 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes termasuk mendapatkan profiling DNA tertuduh.
Media pada 24 Januari 2013 melaporkan seorang pengawal kelab malam atau ‘bouncer’ maut selepas ditembak seorang lelaki dalam satu kejadian pergaduhan di sebuah premis perniagaan di Taman Desa Murni, di sini.
Ketua Polis Pulau Pinang ketika itu, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, mangsa yang juga seorang lelaki tempatan ditemui maut dengan satu kesan tembakan di rusuk kiri pada jam 5.25 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati pergaduhan itu bermula dengan perbincangan berhubung perniagaan antara mangsa dan beberapa lelaki berkenaan sebelum ia bertukar menjadi pergaduhan apabila gagal mencapai kata sepakat. – UTUSAN