PETALING JAYA: Pelaksanaan Perjanjian Pendakwaan Tertunda (DPA) di negara ini sudah berjalan dengan baik tetapi isu yang menimbulkan permasalahan adalah pihak yang dilantik bagi menguruskan pelaksanaan tersebut.
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, Peguam Negara yang berpegang teguh kepada undang-undang tidak sepatutnya terpengaruh atau cenderung kepada keputusan berasaskan politik.
Abu Talib mendakwa, keadaan itu berlaku sekarang apabila kes yang telah dipanggil untuk membela diri kerana bukti sedia ada mencukupi, kemudiannya ditarik balik atas alasan terdapat bukti baharu.
“DPA ini tidak akan mempunyai konflik kerana tugas mereka ditentukan dengan jelasnya dan yang menimbulkan masalah adalah orang yang dipertanggungjawab untuk pentadbiran undang-undang.
“Sistem yang ada tidak ada cacat tetapi yang menjadi hal orang yang dilantik kepada jawatan itu. Dia mesti tegas dan adil,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan, pihaknya berhasrat melaksanakan DPA yang menyaksikan pertuduhan entiti atau institusi perniagaan ditangguhkan sementara waktu dan mereka perlu mematuhi beberapa syarat antaranya melibatkan pemulangan semula wang atau aset diseleweng, membayar penalti atau denda dikenakan.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, DPA membawa lebih banyak mudarat berbanding kebaikan kerana boleh menyebabkan konflik antara Peguam Negara dan SPRM dalam menentukan siapa didakwa di mahkamah.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Sam berkata, terdapat ruang untuk DPA disalah guna dalam menentukan mana-mana kes untuk didakwa atau sebaliknya.
Yaacob juga bersetuju bahawa pelaksanaan DPA mampu ‘menumpulkan taring’ Peguam Negara seperti ditetapkan dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim pula mencadangkan rangka kerja legislatif, pemantauan awam ketat dan laporan awam berkala untuk setiap kes DPA. – UTUSAN