Pegawai kanan polis mengaku tidak bersalah terima rasuah

Pegawai kanan polis mengaku tidak bersalah terima rasuah baiki rumah

MOHD. Firdaus Mohamad diiringi anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan. UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang pegawai kanan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah melibatkan kerja ubah suai rumah dan bayaran pendahuluan pembelian motosikal berkuasa tinggi yang keseluruhannya berjumlah RM13,500 pada Januari dan Jun 2018.

Mohd. Firdaus Mohamad, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Dazuki Ali selepas pertuduhan tersebut dibacakan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika itu merupakan seorang penjawat awam iaitu pegawai Polis Diraja Malaysia berpangkat Asisten Superintenden bertugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, didakwa menerima perkhidmatan ubah suai rumah bernilai RM9,000 secara percuma tanpa sebarang balasan daripada seorang kontraktor lelaki berusia 38 tahun. 

Kesalahan itu didakwa berlaku di Kampung Pak Elong Telong, Bachok dekat sini antara Januari hingga Jun 2018. 

Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Firdaus didakwa menerima wang tunai RM4,500 sebagai bayaran pendahuluan untuk pembelian motosikal jenis Kawasaki Versys daripada individu yang sama. Perbuatan itu didakwa dilakukan di IPD Machang pada Januari 2018.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan selain menetapkan 23 Jun ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN