KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai kewangan sebuah syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM182,884.02, tahun lalu.
Tertuduh, Siti Nurain Mohamad Ghazali, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azrul Darus.
Mengikut pertuduhan, Siti Nurain didakwa melakukan pecah amanah dengan mengambil duit pembayaran kepada pembekal sebanyak RM182,884.02 untuk kegunaan sendiri di stesen minyak Petron, Jalan Tun Razak, Dang Wangi dari April sehingga Disember 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amir Hanif Ahijman menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah atas alasan tidak berkemampuan.
“Saya mengalami masalah kemurungan sejak Januari lalu dan buat masa sekarang hanya suami yang bekerja, selain perlu menanggung tiga orang anak yang masih kecil, jumlah jaminan RM30,000 agak tinggi untuk saya,” kata tertuduh.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Jun ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN