PETALING JAYA: Tiada sebarang perkhidmatan atau tawaran dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan semula wang ditipu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, tiada iklan yang dikeluarkan jabatan itu bagi perkhidmatan mendapatkan semula wang ditipu.
Kata beliau, pihaknya telah mengesan hantaran iklan di laman sosial Facebook yang menawarkan perkhidmatan itu.
“Iklan itu dikesan turut mengandungi logo PDRM serta perkataan Royal Malaysia Police, Commercial Crime Investigation Department (CCID).
“Adalah dimaklumkan, pihak JSJK tidak mempunyai sebarang kaitan dengan iklan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perkhidmatan yang ditawarkan adalah palsu dan satu cubaan penipuan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan tawaran yang diberikan,” jelasnya. – UTUSAN