LANGKAWI: Pasukan aerobatik India menarik diri daripada menyertai Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA’25) kerana konflik dengan Pakistan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, India pada awalnya menyatakan kesediaan untuk menyertai pertunjukan aerobatik sempena LIMA’25, bagaimanapun terpaksa menarik diri.
“Mereka tidak dapat teruskan hasrat tersebut kerana seperti kita tahu, keadaan atau cabaran yang sedang dilalui oleh negara tersebut,” katanya semasa sidang media selepas melakukan tinjuan akhir persiapan LIMA’25 di Resort World Langkawi, di sini.
Bagaimanapun, Mohamed Khaled berkata, beberapa pasukan aerobatik terkemuka negara luar seperti Russian Knights daripada Rusia dan Jupiter daripada Indonesia akan menyertai LIMA’25.
“Kita juga ada pertunjukan solo dari dalam dan luar negara yang turut disertai oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Layang-Layang Flying Academy dan Aerotree Defences and Services.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pesawat yang terlibat dengan pertunjukan udara adalah sebanyak 57 buah,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat 43 aset udara statik dari dalam dan luar negara akan menyertai LIMA’25 sekali gus menunjukkan peningkatan daripada 34 aset semasa LIMA’23 diadakan.
“Sebanyak 26 aset udara dari dalam negara dan 17 lagi dari luar negara seperti dari Brunei, Jerman, Itali, Kanada, Singapura, Rusia dan Amerika Syarikat.
“Ini termasuk aset daripada sektor komersial seperti daripada India, Brazil, Diamond, Perancis, Itali dan sebagainya,” katanya.
Mengulas mengenai aset maritim yang menyertai LIMA’25, beliau berkata, sebanyak 31 buah kapal menyertai program tersebut yang terdiri daripada 19 buah dari dalam negara manakala 12 buah lagi adalah dari negara luar.
“Daripada segi pertunjukan maritim, jumlah keseluruhan aset yang terlibat adalah sebanyak 39 buah aset berbanding 28 buat aset semasa LIMA’23.
“Sejak dianjurkan buat kali pertama pada tahun 1991, LIMA terus berkembang menjadi platform utama di Asia Tenggara untuk mempamerkan keupayaan maritim dan aeroangkasa,” ujarnya. – UTUSAN