KUANTAN: Pihak berkuasa diminta meningkatkan pemantauan bagi memastikan stok simpanan bauksit yang terdapat di Felda Bukit Goh di sini, tidak dicuri pihak tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Pertubuhan Gagasan Dua Generasi Kuantan (G2G), Jefri Salim berkata, ia perlu dilakukan selaras titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu pentadbiran negeri ini terus berusaha membasmi segala ketirisan hasil bumi.
“G2G menyambut baik titah Sultan Pahang supaya hasil negeri ini termasuk bahan mineral bauksit tidak dicuri dan dikeluarkan secara tidak sah.
“Memandangkan stok simpanan bauksit di Felda Bukit Goh ada yang sudah diluluskan, G2G berharap tiada yang mengambil kesempatan mencuri keluar di tempat yang tiada kelulusan.
“Ini memerlukan pemantauan rapi pihak berwajib supaya tidak ada pihak yang berani mengambil kesempatan mencuri bahan mineral ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, Al-Sultan Abdullah bertitah, Pahang bukan sahaja berdepan dengan kerakusan terhadap hijau bumi, malah turut bergelut dengan ketirisan hasil yang berlaku dalam pelbagai bentuk daripada air yang mengalir tanpa hasil, hingga ke perut bumi yang dikeruk secara haram tanpa silu.
Titah baginda, kehilangan air tidak berhasil di Pahang sudah mencapai kadar membimbangkan apabila sebahagian di empangan tidak pernah sampai ke rumah rakyat.
“Negeri ini juga terus kehilangan jutaan ringgit apabila hasil batuan, pasir, bijih, emas, bauksit dan nadir bumi dikeluarkan secara tidak sah, ada yang dilakukan secara terang-terangan, ada yang bersembunyi di sebalik lesen yang disalah guna.
“Ke mana perginya hasil negeri jika tidak kerana kebocoran demi kebocoran ini? Bukannya sedikit, tetapi saban tahun yang sepatutnya masuk ke tabung pembangunan rakyat, ‘tumpah’ begitu sahaja ke tangan yang tidak amanah.
“Justeru, beta mahu pentadbiran negeri hari ini, terus berusaha membasmi ketirisan hasil bumi. Harta negeri ini adalah amanah dan sesiapa yang mengkhianatinya akan menerima pembalasan,” titah Al-Sultan Abdullah. – UTUSAN